Penyerang Kedah Darul Aman, Syafiq Ahmad tersenyum panjang setelah pulang ke pangkuan Harimau Malaya.
Pemain berusia 29 tahun itu terlepas panggilan ke kem Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 susulan kecederaan.
Beliau terus bekerja keras untuk kembali bersama pasukan dan akhirnya diberikan kepercayaan sekali lagi oleh Ketua Jurulatih, Pau Marti.
Sebelum ini, pemain kelahiran Pulau Pinang ini menyatakan hasrat untuk memberikan segalanya sekiranya dipanggil untuk membantu negara.
“Apabila saya dipanggil semula, saya akan cuba untuk membantu pasukan dengan apa yang saya ada sekarang dan perlukan semaksimum mungkin,” jelas Syafiq Ahmad.
Impian tersebut menjadi kenyataan apabila namanya tersenarai dalam kalangan 26 orang pemain yang dipanggil kali ini.
Syafiq turut percaya bahawa semua pemain yang tersenarai termasuk dirinya mampu mempamerkan prestasi cemerlang buat Harimau Malaya.
“Saya berharap bila ada momentum di pasukan kelab, saya dapat bawa dengan baik ke pasukan kebangsaan.
“Untuk kita setiap pemain dapat buktikan kita boleh membantu pasukan Malaysia bermain dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di Kelana Jaya.
Malaysia akan bertemu Filipina bagi aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 pada 4 September 2024 sebelum ke aksi final atau penentuan tempat ke-3 pada 8 September.