Pemain Harimau Malaya seperti Syihan Hazmi dan Akhyar Rashid menerima sambutan hangat daripada peminat di New Zealand.
Skuad kendalian Pau Marti masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Pestabola Merdeka 2024.
Harimau Malaya berjaya membenam cabaran Lubnan dengan keputusan 1-0 September lalu namun hanya seri menentang Auckland FC tempoh hari.
Malaysia bagaimanapun menerima tonik tambahan di New Zealand apabila dihadiri oleh ramai peminat yang menetap di Auckland.
“Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti meneruskan hari keenam kem latihan pusat di Auckland, New Zealand dengan sesi latihan terbuka untuk disaksikan oleh penyokong Harimau Malaya terdiri daripada rakyat Malaysia di New Zealand,” ujar kenyataan FAM.
Peminat mengambil kesempatan untuk bergambar dengan beberapa pemain utama negara seperti Matthew Davies, Arif Aiman, Akhyar Rashid dan Syihan Hazmi.
Pemain juga sempat berbual pendek dengan peminat Malaysia yang tinggal di sana bagi membentuk aura positif buat skuad kebangsaan.
Pertemuan dengan pasukan ke-95 dunia ini penting buat pasukan negara mengekalkan rekod cemerlang di bawah kendalian Pau Marti sambil berusaha untuk menambah mata FIFA selepas hanya memperoleh satu aksi Tier 1 bulan ini.
Aksi antara New Zealand dan Malaysia akan berlangsung pada 14 Oktober 2024 jam 2 petang di Auckland.