Kelibat penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi tidak berada dalam skuad negara menjelang dua aksi getir.
Hal ini susulan barisan pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi buat Harimau Malaya masih menjalani latihan bersama pasukan.
Kelibat penjaga gawang berusia 28 tahun itu menjadi tanda tanya selepas tidak kelihatan dalam sesi latihan terakhir pasukan.
Posisi penjaga gol JDT menampilkan pemain seperti Izham Tarmizi, Farizal Marlias dan juga Zulhilmi Saarani.
Perkongsian oleh laman Johor Southern Tigers memperlihatkan barisan pemain seperti Endrick Dos Santos, Matthew Davies, Corbin-Ong, Shahrul Saad dan juga Feroz Baharuddin menjalani latihan seperti biasa.
Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon telah membuat keputusan untuk memanggil empat penjaga gol dalam senarai 26 pemain bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad negara akan berdepan pasukan ke-100 dunia, Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei dalam misi untuk mara ke pusingan berikutnya.
Pan-gon juga telah kehilangan khidmat bintang utama negara dan JDT, Arif Aiman Hanapi yang mengalami kecederaan buku lali sehingga terpaksa diketepikan bagi aksi kali ini.
FAM juga mengumumkan bahawa Syihan mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan daripada tugasan kebangsaan.
“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Sihan Hazmi Mohamed tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini kerana mengalami kecederaan seperti yang dimaklum dan disahkan oleh doktor kelab berkenaan,” jelas FAM.
Skuad Harimau Malaya akan beraksi bagi perlawanan kelima Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek.
Perlawanan ke-6 pula akan menemukan Chinese Taipei dan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.