Malaysia bakal turun dengan misi besar apabila Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon optimis dengan kemampuan pemain yang dipanggil kali ini.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu telah menyenaraikan 26 orang pemain bagi menghadapi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei.
Mengulas lanjut, beliau ketika ditemui di Wisma FAM hari ini memberitahu bahawa pasukan dalam motivssi terbaik untuk mengejar 6 mata penting untuk mara ke pusingan berikutnya.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kehilangan beberapa tonggak utama memberi kesan besar kepada percaturan Harimau Malaya.
“Sudah tentu pasukan merasainya. Faisal dan Arif Aiman merupakan pemain dengan minit bermain tertinggi begitu juga jumlah jaringannya. Sudah tentu kehilangan beberapa pemain memberi kesan kepada taktikal kami.
“Namun begitu, kita tidak bergantung kepada hanya individu dalam permainan kita. Kami bermain sebagai satu pasukan. Kita perlu mencari cara untuk kuat sebagai pasukan,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Beliau bagaimanapun memberi kepercayaan kepada para pemain yang dipanggil untuk menggalas tugas penting bersama Malaysia.
Pan-gon juga memberi bayangan bahawa Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bakal mengambil peranan Arif dan Faisal berdepan Kyrgyzstan.
“Saya rasa kamu sudah tahu siapa (pengganti Arif dan Faisal). Kita tidak mempunyai banyak pilihan kali ini. Ada Safawi dan Akhyar di situ. Akan ada juga beberapa perubahan mengikut taktikal tetapi dalam beberapa hari lagi kita akan melihat siapa yang bakal mengisi kekosongan tersebut.
Skuad kebangsaan akan beraksi bagi perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek.
Perlawanan keenam pula akan menemukan Chinese Taipei dan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.