Pendidikan
Photo: Dylan Martinez/Reuters
Advertisements

Artikel ini merupakan sambungan untuk Bahagian 1: Membedah Tactical Periodisation.

2 Teras Utama Tactical Periodisation

Tactical Periodisation mempunyai 2 teras utama iaitu:

  1. Konsep
  2. Perlaksanaan (Latihan)

Di mana kedua-dua teras ini saling berkaitan dan tidak boleh dipisahkan. Ianya harus sejalan.

Advertisements

KONSEP dalam Tactical Periodisation amat berkait rapat dengan Playing Idea. Dalam bahasa mudah, KONSEP ADALAH BAGAIMANA JURULATIH INGIN PASUKANNYA BERMAIN. Ini merangkumi formasi, falsafah, ideologi. Tetapi Konsep juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Antaranya adalah – budaya bola sepak sesebuah kelab atau pasukan itu, sejarah sesebuah kelab atau pasukan, situasi kewangan kelab, kualiti pemain-pemain yang ada dalam pasukan.

Contoh: Itali bermain dengan falsafah play out from the back. Tetapi mampukah Itali bermain begitu jika tiada pemain-pemain yang selesa, tenang dan juga bagus mengawal bola seperti Donnarumma, Bonucci, Chiellini, Spinazzola, Di Lorenzo, Jorginho, Barella dan Verratti?

Setelah KONSEP dibentuk serta dibangunkan dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, ianya akan diterjemahkan ke dalam sesuatu yang dipanggil sebagai MODEL PERMAINAN.

Advertisements

MODEL PERMAINAN adalah hasil atau produk yang dicapai oleh sesebuah pasukan ketika perlawanan, berdasarkan setiap latihan atau persediaan yang dilakukan berdasarkan situasi yang dijangka akan berlaku dalam perlawanan tersebut. Untuk liga, MODEL PERMAINAN tidak akan terhenti atau terlihat dalam satu perlawanan sahaja. Ia akan terlihat dalam bentuk perlawanan demi perlawanan yang akhirnya akan membina identiti pasukan tersebut.

Contoh: Pasukan Pahang musim 2014 bermain dengan taktikal long ball mencari target men mereka iaitu Dickson Nwakame atau Mathias Conti. Nwakame atau Conti berusaha hold bola menanti winger mereka yang pantas iaitu Azamuddin Akil atau R. Gopinathan tiba. Selepas hantar bola kepada winger, pemain lain akan masuk ke dalam kotak penalti untuk menanti hantaran lintang. Itu adalah MODEL PERMAINAN Pahang pada musim 2014, berdasarkan kualiti serta jenis pemain yang mereka ada, berdasarkan latihan yang mereka jalankan untuk bermain begitu, berdasarkan jangkaan mereka bahawa pasukan lawan akan sukar untuk mengatasi kekuatan fizikal Nwakame dan ketajaman Conti di dalam kotak penalti.

Terdapat 3 perkara yang mempengaruhi MODEL PERMAINAN sesebuah pasukan iaitu:

Advertisements
  1. 4 Fasa Permainan
  2. Skala Latihan
  3. Prinsip Permainan

Secara asasnya, ketiga-tiga perkara ini adalah bagaimana LATIHAN TAKTIKAL SECARA BERKALA dijalankan untuk membentuk MODEL PERMAINAN yang diinginkan jurulatih tanpa memisahkan dimensi-dimensi bola sepak iaitu TEKNIKAL, FIZIKAL dan PSIKOLOGIKAL.

[1] 4 Fasa Permainan:

4 Fasa Permainan ini adalah keadaan-keadaan dalam perlawanan bola sepak yang sudahpun dipermudahkan secara spesifik. LATIHAN TAKTIKAL SECARA BERKALA akan dijalankan berdasarkan fasa-fasa ini untuk mempermudahkan para pemain mengadaptasi taktikal yang diterapkan jurulatih. Ini kerana, 4 fasa ini didefinasikan secara jelas bagaimana keadaannya. Pemain akan mudah untuk melaksanakan tugas mereka berdasar fasa-fasa ini.

Attacking Organization – fasa pasukan kita memegang posesi bola dan pasukan lawan berada dalam Defensive Organization. Fasa ini berakhir apabila kita hilang posesi.

Advertisements

Defensive Transition – fasa di mana pasukan kita baru saja kehilangan posesi bola dan masih belum menyusun barisan pertahanan. Fasa ini akan berakhir apabila barisan pertahanan kita telah tersusun secara in line atau berstruktur. Pada fasa ini pasukan lawan mungkin boleh mengambil kesempatan melakukan counter attack.

Defensive Organization – fasa pasukan kita tidak memegang posesi bola tetapi berada dalam susunan pertahanan yang teratur (in line atau jelas strukturnya). Fasa ini akan berakhir apabila pasukan kita merampas kembali posesi bola.

Attacking Transtition – fasa di mana pasukan kita baru mendapat posesi bola daripada pasukan lawan sementara pasukan lawan masih belum menyusun barisan pertahanan mereka secara in line atau berstruktur. Peluang untuk pasukan kita melakukan counter attack di sini sangat tinggi.

[2] Skala Latihan

Skala Latihan boleh kita anggap sebagai jumlah atau barisan atau jenis pemain yang terlibat, yang diperlukan untuk menjalankan latihan TAKTIKAL SECARA BERKALA berdasarkan 4 Fasa Permainan yang diterangkan di atas. Skala Latihan terbahagi kepada 5 iaitu:

  • Kolektif
  • Inter-sektorial
  • Sektorial
  • Kumpulan
  • Individu
skala 1 Membedah Tactical Periodisation – Bahagian 2

Inter-sektorial melibatkan hubungan 2 barisan dalam pasukan.

Contoh: barisan midfield dengan penyerang, pertahanan dengan barisan midfield

Sektorial hanya melibatkan satu barisan daripada seluruh pasukan.

Contoh: pertahanan, midfield, penyerang

Kumpulan adalah pemain tertentu yang bermain dekat dengan pemain lain tetapi mereka berada dalam garisan yang berlainan.

Contoh: CB dengan DM, FB dengan WF, AM dengan CF, WF

[3] Prinsip Permainan

Amat penting untuk membentuk Prinsip Permainan berdasarkan 4 Fasa Permainan dan juga Skala Latihan dalam membangunkan modul LATIHAN TAKTIKAL SECARA BERKALA yang akan menterjemahkan MODEL PERMAINAN sesebuah pasukan. Prinsip terbahagi kepada:

1) Prinsip Utama
2) Sub Prinsip
3) Sub-Sub Prinsip

Prinsip Utama melibatkan Skala Latihan berbentuk Kolektif atau Inter-sektorial pasukan. Ini adalah Prinsip yang mempamerkan identiti sesebuah pasukan. Biasanya latihan untuk ini dijalankan dengan jumlah pemain yang ramai. Contoh: 11vs11, 10vs10, 10vs9, dll… Prinsip Utama biasanya tidak berubah perlawanan demi perlawanan, tidak mengira siapapun lawan. Seperti diterangkan tadi – ia membentuk identiti sesebuah pasukan.

Contoh: Pasukan Sepanyol tahun 2010 yang bermain dengan tiki-taka. Prinsip Utama mereka ketika menyerang adalah dengan mengekalkan posesi bola dan juga membuat hantaran demi hantaran pendek secara pantas serta tepat untuk mengelirukan barisan pertahanan lawan sebelum melakukan killer pass yang menimbulkan peluang jaringan.

Sub Prinsip secara mudahnya bolehlah kita anggap sebagai Plan B sesebuah pasukan. Jika Prinsip Utama merupakan identiti MODEL PERMAINAN sesebuah pasukan, Sub Prinsip pula membentuk MODEL PERMAINAN dalam perlawanan tertentu sahaja tanpa melenyapkan identiti pasukan tersebut. Ada perlawanan tertentu yang perlu sedikit ubahan taktikal.

Contoh: Pasukan Sepanyol tahun 2010 bermain dengan tiki-taka yang Prinsip Utama mereka ketika menyerang adalah dengan mengekalkan posesi bola dan juga membuat hantaran demi hantaran pendek secara pantas dan tepat untuk membuka pertahanan lawan dengan killer pass. Tetapi bagaimana jika Sepanyol tahun 2010 ini bertemu dengan pasukan yang selesa bertahan dalam keadaan low block. Pasti sukar untuk mereka bermain tiki-taka begitu. Di sini mereka terpaksa bermain dengan Sub Prinsip. Mungkin mereka akan bermain hantaran silang dengan meletakkan target men yang tinggi di dalam kotak penalti untuk melakukan jaringan.

Skala Latihan untuk Sub Prinsip biasanya melibatkan Inter-sektorial, Sektorial atau Kumpulan. Contoh bagi pasukan Sepanyol 2010 ini, mungkin mereka perlu jalankan latihan crossing yang melibatkan pemain RFB, LFB, RWF, LWF, AM dan CF ketika mereka bakal berlawan dengan pasukan yang bertahan secara low block dan bermain pragmatik tidak menyerang terbuka.

Sub-Sub Prinsip hanya melibatkan Skala Latihan berbentuk Individu ataupun Kumpulan. Contoh: 2 CB, 2 CF, dll… Seperti Sub Prinsip, Sub-Sub Prinsip turut diaplikasikan sewaktu menentang lawan tertentu, perlawanan di mana pasukan terpaksa melakukan sedikit ubahan taktikal untuk mendapat kemenangan tanpa meninggalkan identiti pasukan. Secara mudah, Sub-Sub Prinsip boleh dianggap sebagai arahan taktikal jurulatih kepada individu tertentu.

Contoh: Sir Alex Ferguson memberikan arahan taktikal khusus kepada Park Ji-Sung untuk merantai pergerakan Andrea Pirlo ketika Manchester United bertemu AC Milan pada 2010.

Tamat Bahagian 2 – Bahagian 3 akan diterbitkan nanti. Pastikan anda mengikuti MakanBola di Telegram untuk menerima notifikasi pantas untuk segala artikel yang dikeluarkan di MakanBola.com

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram