Susulan tindakan Lubnan menarik diri daripada saingan Pestabola Merdeka 2023, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak pantas dengan menjemput Tajikistan sebagai pasukan keempat untuk edisi kejohanan ke-42 itu.
Dan hari ini, pasukan yang diberi jolokan The Crowns mengesahkan penyertaan mereka untuk kejohanan itu. Berdasarkan ranking terbaru FIFA, Tajikistan ketika ini menduduki ranking ke-110 dunia.
Dengan pengesahan ini, Tajikistan akan menjadi lawan Palestin untuk aksi pertama Pestabola Merdeka 2023. Manakala tiada perubahan untuk aksi kejohanan itu membabitkan Malaysia dan India.
“Bagaimanapun, FAM telah menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) pada Isnin, 14 Ogos 2023 menyatakan bahawa mereka terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 dengan alasan Lebanon dan Palestine telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.
“FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan dengan dua hari perlawanan iaitu pada 13 dan 17 Oktober ini tidak terjejas.
Sehari kemudian iaitu pada Selasa, 15 Ogos 2023, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan yang kini berada di ranking ke-110 dunia menggantikan slot yang ditinggalkan oleh pasukan Lebanon itu,” kata badan induk bola sepak itu dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi penyokong Kedah Darul Aman FC, inilah peluang untuk mereka melihat Amirbek Jurobaev menyarung jersi The Crowns dalam Pestabola Merdeka. Sejak menyertai Sang Kenari pada awal tahun ini, beliau telah merekodkan 18 penampilan dan empat gol.
Begitupun, Tajikistan dijangka lebih berhati-hati terutama dengan Harimau Malaya. Selepas melihat negara serantau, Turkmenistan dua kali ditewaskan anak-anak buah Kim Pan-gon itu, The Crowns berharap nasib sama tidak menimpa mereka.