Kemarau kemenangan Tajikistan dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa berakhir apabila pasukan itu membelasah Nepal 4-0.
The Crowns terdesak mendapatkan kemenangan selepas kali terakhir melakukannya ke atas Pakistan pada 11 Jun lalu. Manakala Nepal turut memburu matlamat sama selepas menewaskan Laos pada 17 Oktober 2023.
Pengendali Tajikistan, Gela Shekiladze menurunkan barisan terkuat diketuai bekas pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Amirbek Juraboev. Manakala cabaran The Gorkhalis pula diketuai pemain tengah Persik Kediri, Rohit Chand.
Separuh masa pertama menyaksikan Tajikistan mula mengasak menerusi gandingan Sharom Samiev dan Shervoni Mabatshoev. Mabatshoev hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ketujuh tetapi sepakannya melepasi palang.
Kesungguhan penyerang Istiklol itu membuahkan hasil apabila beliau menyumbat gol pertama pada minit ke-19. Mabatshoev melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu.
Penyerang berusia 23 tahun itu terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan The Gorkhalis. Tuan rumah kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti apabila Mabatshoev dijatuhkan Sanish Shrestha.
Meskipun penalti Alisher Dzhalilov pada awalnya dinafikan Limbu, pemain tengah Tajikistan itu mudah menolak bola ke dalam gawang pada minit ke-29.
Mabatshoev merekodkan gol keenamnya di peringkat antarabangsa dengan menolak bola melepasi Chemjong pada minit ke-45.
Perlawanan kemudiannya menjadi tegang apabila Chand dikesan mengasari penjaga gol, Oleg Baklov. Ini menyebabkan situasi tolak-menolak antara pemain tengah berusia 32 tahun itu dengan Manuchekhr Safarov.
Selepas pengadil berjaya mengawal keadaan, kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning atas apa yang berlaku. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, The Crowns terus memberi tekanan kepada pasukan pelawat. Dzhalilov menyumbat gol ketujuhnya di peringkat antarabangsa menerusi rembatan deras pada minit ke-50.
Tekanan yang dikenakan Tajikistan memaksa Nepal terpaksa bertahan bagi memastikan gawang mereka tidak bocor.
Kedudukan 4-0 memberi ruang kepada Shekiladze memasukkan Alisher Shukurov dan Daler Sharipov pada minit ke-65.
The Crowns terus memberi tekanan kepada The Gorkhalis tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan itu menyaksikan kemarau kemenangan Nepal terus berpanjangan.
Selepas ini, pasukan itu akan turun menentang Afghanistan pada 16 November. Manakala Tajikistan pula akan menentang lawan yang sama pada 19 November.