Tajikistan Raih Tempat Ke-3 Pestabola Merdeka, Atasi Filipina
MakanBola
Tajikistan FF
Sponsors

Tajikistan dipaksa bekerja keras oleh Filipina sebelum meraih kedudukan ketiga Pestabola Merdeka 2024.

Selepas tewas kepada Malaysia dan Lubnan pada 4 September lalu, perlawanan ini dilihat peluang terbaik buat kedua-dua pasukan menamatkan kempen Pestabola Merdeka dengan nota positif.

Ad

Pengendali The Azkals, Norman Fegidero membuat beberapa pertukaran termasuk menurunkan bekas penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza. Manakala pengendali Tajikistan, Gela Shekiladze pula terus mengekalkan Parvizdzhon Umarbayev untuk mengetuai cabaran pasukan itu.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan The Crowns berusaha memberi tekanan ke atas The Azkals menerusi Shahrom Samiev dan Nuriddin Khamrokulov.

Keadaan ini menyebabkan Mendoza terpaksa bekerja keras menafikan setiap ancaman yang digerakkan dua peledak Tajikistan itu.

Ad

Filipina kemudiannya ditimpa malang apabila Michael Baldissimo terpaksa dikeluarkan pada minit ke-36 akibat kecederaan. Fegidero memasukkan bekas bek tengah Kelantan FC, Christian Rontini sebagai pengganti.

Ad

The Azkals terus dibadai dengan masalah kecederaan apabila penyerang KL City, Patrick Reichelt dilihat terhincut-hincut di atas padang pada minit akhir separuh masa pertama.

Ad

Kecekapan Mendoza mengawal gawang Filipina memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Fegidero memasukkan Jarvey Gayoso menggantikan Reichelt. Manakala Shekiladze pula memasukkan bek tengah muda, Barakatullo Nigmatullozoda.

Mendoza terus mengekang asakan The Crowns dengan menepis hantaran Daler Sharipov pada minit ke-52. Penjaga gol Persib Bandung itu kemudiannya memastikan bola dalam dakapannya sebelum pantas disambar pemain Tajikistan.

Peluang terbaik The Crowns hadir pada minit ke-58 apabila Samiev mengesan Mendoza berada di luar gawangnya. Malangnya, rembatan yang dilakukannya berjaya disekat kapten, Amani Aquinaldo.

Bjorn Kristensen nyaris meletakkan Filipina di hadapan pada minit ke-74 selepas melakukan larian solo ke arah kubu Tajikistan. Kem The Azkals hampa kerana percubaan penyerang Aalesunds itu dinafikan penjaga gol Tajikistan, Oleg Baklov.

Penjaga gol FC Ufa itu terus menafikan hasrat The Azkals mendapatkan gol dengan menafikan sepakan percuma Gayoso pada minit ke-80.

Meskipun pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali memberi masa tambahan selama lima minit, kedua-dua pasukan terus buntu mencipta jaringan. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat 90 minit permainan.

Keadaan ini menyebabkan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang. Filipina kurang bernasib baik apabila penalti Jefferson Tabinas dan Gayoso hanya mengenai palang.

Dan itu sudah cukup buat Tajikistan meraih kemenangan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti. Kini, fokus beralih pula kepada aksi final Pestabola Merdeka 2024 antara Malaysia dan Lubnan.