Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad hairan dengan kenyataan pihak yang seolah-olah tidak tahu tentang masalah tunggakan gaji pasukan.
Beliau ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini memaklumkan bahawa masalah gaji KL City kian meruncing.
Khalid Samad menjelaskan bahawa pasukan Lembah Klang itu telah melunaskan tunggakan 3 bulan gaji tahun lalu hasil wang daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya (KL City) mulakan tahun ini dengan tiga bulan berhutang gaji (Oktober, November dan Disember). Keputusan MFL mengganjakkan aksi ke bulan Mei menyebabkan pemain tidak mendapat gaji.
“Ini disebabkan pemain telah menandatangani terma yang menyebabkan gaji pemain tidak dibayar semasa musim berehat sehingga bulan Mei,” jelasnya.
Tunggakan bagaimanapun kembali menular selepas KL City berdepan krisis kewangan sekali lagi yang menyebabkan pembayaran gaji bagi musim 2024/25 masih belum berjalan.
Beliau juga hairan dengan kenyataan oleh pihak berkepentingan yang memberitahu seolah-olah tidak tahu masalah dalaman pasukan itu ketika ini.
“Ada yang komen kata tak tahu pemain tak dapat gaji dan sebagainya, pada saya tak munasabah. Setiap bulan kita kena bayar gaji berjumlah RM1 Juta.
“Takkan duit sejuta keluar masuk awak tak tahu? Jadi kalau awak orang yang bertanggungjawab dalam pengurusan atau kepimpinan tertinggi (BOD), duit sejuta keluar dan masuk kamu tak tahu, mesti ada sesuatu yang tidak kenalah,” jelasnya ketika ditemui media baru-baru ini.
“Benda ni bukan baru, dari tahun 2020 lagi. Keadaan tarik tali ini dihadapi sejak sekian lama. Aku orang politik, tapi aku tahu mana arena untuk berpolitik, bukan dalam bola, bola ini sepatutnya menyatukan semua (Melayu, Cina dan India) dan juga Pas, Umno dan juga PH.
Khalid Samad juga tidak mahu membiarkan isu ini melarat sehinggakan hujung tahun memikirkan nasib The City Boys yang boleh ‘tutup kedai’.