Cerita sebenar mengenai tunggakan gaji 7 bulan kapten pasukan KL City, Paulo Josue akhirnya terjawab.
Perkara ini dinyatakan oleh Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (KLFA), Khalid Abdul Samad dalam satu sesi sidang media di Kuala Kumpur hari ini.
Katanya, pihak kelab telah berusaha sebaik mungkin melunaskan tunggakan gaji pemain namun mengakui terdapat kekangan yang dihadapi berkenaan dana setiap musim.
“Saya (KL City) mulakan tahun ini dengan tiga bulan berhutang gaji (Oktober, November dan Disember). Keputusan MFL mengganjakkan aksi ke bulan Mei menyebabkan pemain tidak mendapat gaji.
“Ini disebabkan pemain telah menandatangani terma yang menyebabkan gaji pemain tidak dibayar semasa musim berehat sehingga bulan Mei,” jelasnya.
Baru-baru ini, tular berita mengenai pendedahan kapten pasukan KL City, Paulo Josue yang memaklumkan bahawa beliau tidak menerima gaji sejak 7 bulan lalu.
Khalid mengesahkan bahawa tunggakan gaji tiga bulan akhir musim lalu telah pun dilunaskan selepas mendapat dana daripada DBKL berjumlah RM3 Juta.
“Berkenaan isu tunggakan gaji Paulo Josue, saya amat menghormatinya sebagai pemain namun apabila yang dikatakan mengenai tunggakan gaji 7 bulan itu adalah secara teknikal.
“Ini kerana beliau mengambil kira tempoh awal tahun (Januari, Februari dan Mac) namun kita bermula latihan pada bulan April jadi secara teknikalnya gaji kita akan mula bayar pada bulan April.
“Kontrak Paulo telah ditandatangani awal sebelum perubahan liga dilakukan jadi secara teknikal, beliau melihat tunggakan gajinya mencecah 7 bulan.
Beliau mengakui telah berhubung dengan DBKL untuk bertanya mengenai dana kepada KL City hampir setiap hari namun campur tangan pihak lain menyebabkan dana itu tidak diterima.
Khalid menganggap bahawa kejayaan KL City ini tidak dihargai kerana masih berjuang dengan bajet sekitar RM5 Juta sejak dua tahun kebelakangan ini tanpa sokongan dana lain.
Sebagai rekod, beliau mengambil alih pasukan pada tahun 2019 semasa menjawat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.