Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali menjangkakan Harimau Malaya memerlukan pelan taktikal berbeza bila menentang Cape Verde dan Vietnam.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat perbezaan corak permainan kedua-dua pasukan itu terutama dari segi bentuk dan corak menyerang.
Meskipun begitu, Cape Verde dilihat memiliki kepintaran bola sepak yang bagus. Safee percaya aspek itu dijangka menguji ketahanan anak buah Peter Cklamovski.
“Secara jujur, (Cape Verde) bukan memiliki corak permainan sama dengan Vietnam. Sebab Vietnam ada corak permainan berbeza (terutama dari segi) pergerakan dan corak serangan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Apa yang saya dapat lihat ialah Cape Verde memiliki kepintaran dalam bermain yang berbeza. Saya rasa walaupun dalam perlawanan persahabatan, itu akan menguji ketahanan dan keserasian.
“Macam mana kita persiapkan pasukan kita untuk terapkan apa yang kita mahukan, itu yang lebih penting.”
Malaysia bakal menentang Cape Verde untuk dua aksi pemanas badan. Aksi pertama merupakan aksi perlawanan antarabangsa Tier 1 pada 29 Mei.
Ini disusuli aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun. Malaysia akan menentang Vietnam untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun.