Pempengaruh media sosial, Bob T20 menyifatkan kelajuan yang dimiliki Ramadan Ondash membantu jaguh Lubnan itu menewaskan jaguh negara, Johan Ghazali.
Pandangan itu disuarakan beliau menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok. Bob T20 melihat kepantasan yang dimiliki Ramadan sukar ditepis Johan ketika diserang.
Hal ini membolehkan jaguh Lubnan itu mengutip banyak mata dalam setiap tiga pusingan. Meskipun Ramadan kemudiannya dilayangkan kad kuning kerana kerap kehilangan pelindung mulut, Bob T20 tidak melihat perkara itu menjejaskan kutipan mata lawan Johan itu.
“Walaupun (Ramadan) Ondash dapat kad kuning tapi (kutipan) mata dia terlalu tinggi.
“Walaupun dia dapat kad kuning pun, (kutipan) mata dia tak terjejas. Sebab aku tengok dari pusingan pertama, mata asyik masuk. Tangan dia laju, Jojo tak dapat nak tepis semua.
“Kalau kata dia boleh tepis pun, yang jenis merbahaya itu dia boleh tepis. Yang banyak kena itu yang banyak masuk (mata),” katanya.
Pandangan Bob T20 dilihat berbeza dengan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong.
Chatri bukan saja secara peribadi berpandangan Johan sepatutnya memenangi pertarungan itu. Malah, beliau juga merasakan perlawanan semula antara kedua-dua jaguh itu sepatutnya diadakan semula.