Teka-teki mengenai dua individu yang dikaitkan bersama Harimau Malaya iaitu Tano Solari dan Benjamin Mora terus hangat diperkatakan.
Jawatan pemangku Ketua Jurulatih Malaysia ketika ini digalas oleh Pau Marti Vicente yang menyaksikan Harimau Malaya merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Beberapa calon jurulatih terkemuka di Asia seperti Park Hang-seo, Petar Segrt dan lain-lain telah dikaitkan untuk mengisi posisi tersebut.
Namun begitu, peminat mula beralih arah apabila melihat bahawa dua bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tano Solari dan Benjamin Mora antara calon untuk mengisi kerusi panas skuad kebangsaan itu.
Tano meninggalkan JDT selepas tamat musim 2023 yang menyaksikan jurulatih kelahiran Argentina itu membawa haluan ke Chile bersama CD Everton sejak Mac 2024.
Pengendali berusia 44 tahun itu hanya bertahan 9 bulan apabila mengumumkan perpisahan dengan kelab tersebut selepas mengharungi 33 perlawanan dan memperoleh purata 1.61 mata.
Beliau juga hanya sempat bersama skuad Harimau Selatan selama satu musim, mengemudi pasukan sebanyak 44 aksi dengan purata 2.75 mata.
Bekas pembantu jurulatih B-23 Argentina ini juga membantu JDT untuk mengekalkan 4 trofi domestik di bumi Johor.
Seorang lagi watak yang dikaitkan ialah Benjamin Mora yang pernah bersama JDT dari tahun 2015 hingga 2022.
Pengendali berusia 46 tahun itu kali terakhir bersama York United FC dan membimbing pasukan berdepan 22 aksi dalam tempoh hanya 5 bulan di Kanada.
Sebelum itu, beliau membimbing kelab Mexico, Atlas FC dan memiliki purata 1.29 mata dalam 41 perlawanan kendaliannya.
Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi berkenaan calon pengendali Harimau Malaya namun dua watak ini mampu memberikan elemen yang diperlukan oleh skuad kebangsaan untuk terus maju.
Malaysia kendalian Pau Marti akan membuka tirai menentang Kemboja pada 8 Disember bagi aksi ASEAN Mitshubishi Electric Cup 2024.