Advertisements
Benjamin Mora Tinggalkan York United, Pulang Ke Malaysia?
Eropah
MakanBola
York United FC

Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak lagi bersama kelab Kanada, York United.

Hal ini selepas pengendali muda itu telah mencapai persetujuan untuk meninggalkan kelab Canadian Premier League (CPL) itu pada akhir musim 2024. Keputusan ini diumumkan York United di laman sesawang rasmi mereka.

“Kami berterima kasih kepada Benjamin atas semua perkara yang beliau bawa ke kelab. Sepanjang lima bulan terakhir, kami telah mencapai banyak perkara dan menetapkan piawaian baru.

“Benjamin memimpin pasukan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik dan menanamkan keyakinan dalam kumpulan pemain yang akan dimanfaatkan bila bergerak ke hadapan. Kami mengucapkan selamat berjaya untuk pilihan karier yang seterusnya.

“Proses mencari jurulatih baru sedang dijalankan. Sudah tentu ada banyak pihak yang menyatakan minat dan kumpulan besar calon yang perlu ditemu duga. Kami teruja dengan cabaran yang menanti selepas ini dan tidak sabar meraih lebih banyak kejayaan berdasarkan asas mantap yang dibina pada 2024,” kata Pengurus Besar dan Presiden kelab, Ricardo Pasquel.

Sementara itu, Mora berterima kasih kepada semua pihak termasuk penyokong kerana membantu York United melakar pencapaian cemerlang untuk musim 2024.

“Terima kasih kepada pemilik kelab, staf dan pemain tetapi yang paling penting, peminat yang sentiasa ada.

“Saya rasa seronok melakukan yang terbaik untuk membawa York United mengharungi musim yang hebat. Saya sayang anda semua dan saya berharap kita dapat berjumpa lagi,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Mora menyertai kelab tersebut dengan kontrak enam bulan untuk menggantikan jurulatih sebelumnya, Martin Nash yang dipecat.

Pengendali Mexico itu membantu York United menamatkan kempen di tangga keempat CPL. Pasukan itu turut mencipta sejarah dengan mara ke pusingan playoff CPL buat kali pertama.

Berita ini timbul tatkala beberapa pasukan di Malaysia kini dalam proses mencari jurulatih baru antaranya ialah pasukan Selangor FC, Terengganu FC dan Penang FC.

Situasi ini meletakkan bekas jurulatih Atlas itu berada pada kedudukan yang baik untuk mengisi kekosongan jawatan untuk pasukan-pasukan yang dinyatakan.

Walau bagaimanapun, belum ada pengumuman rasmi daripada mana-mana pasukan tentang calon jurulatih yang diintai mereka.

Beliau juga dikaitkan dengan kepulangan ke negara asalnya iaitu Mexico bagi membuka satu lagi lembaran baharu di sana.