Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Tano Solari menjadi sasaran serangan oleh 3 pemain pasukannya sendiri, Godoy Cruz.
Pada Februari lalu, Tano Solari diumum secara rasmi selaku pengendali kelab di Liga Argentina, Godoy Cuz dalam usaha untuk membantu El Tomba bangkit dari permulaan buruk di musim 2025.
Setelah 7 aksi, Solari baru mencatat dua kemenangan, 4 kali seri serta satu kekalahan termasuklah tersingkir di pusingan awal Copa Argentina setelah tewas di tangan Excursionistas.
Malah, lebih mengejutkan apabila terdapat laporan media di Argentina yang mendakwa berlaku pergolakan di dalam kem pasukan membabitkan Solari dan sekelompok pemain ketika latihan.
Laporan oleh Los Andes memaklumkan bahawa Solari cuba memanfaatkan tempoh rehat antarabangsa untuk menjalani latihan, namun pada sesi Rabu, satu insiden kekecohan telah mengejutkan pasukan.
“Dilaporkan bahawa 3 pemain didakwa mencuba menyerang Esteban Solari dalam sesi latihan, menjelang aksi menentang Independiente Rivadavi,” ujar laman berita itu.
Menurut Los Andes lagi, ketika latihan berlangsung, 3 orang pemain tersebut tidak bersetuju dengan pendekatan taktikal Solari lalu tanpa banyak bicara berusaha menyerang secara fizikal.
Identiti mereka belum didedahkan, namun 3 orang pemain itu dikatakan terdiri daripada seorang penjaga gol, pemain tengah asing yang berpengaruh dan pemain sayap pasukan.
Walau bagaimanapun, pihak kelab menafikan bahawa insiden tersebut telah berlaku malah, pada hari Khamis lalu, pasukan dilihat menjalani latihan seperti biasa mengikut arahan Solari.
Godoy Cruz yang kini menghuni tangga ke-9 bakal berdepan tugas besar apabila akan bertemu pendahulu Liga Argentina, Independiente pada awal pagi Ahad di gelanggang lawan.