Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan tarikh baru ASEAN Championship 2024 atau nama rasminya ASEAN Mitsubishi Electric Cup.
Sebelum ini, tarikh asal kejohanan ini sepatutnya bakal berlangsung dari 23 November hingga 21 Disember hadapan.
Walau bagaimanapun, beberapa persatuan bola sepak ASEAN meminta AFF agar menimbang semula tarikh asal ASEAN Mitsubishi Electric Cup. Ini kerana tarikh tersebut bukan saja bertentangan dengan saingan Shopee Cup iaitu kejohanan kelab peringkat ASEAN.
Malah, tarikh tersebut dilihat menjejaskan beberapa kelab ASEAN yang bersaing dalam saingan Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25.
Ini sekaligus menyukarkan pasukan-pasukan ASEAN untuk membentuk barisan terkuat bagi menghadapi ASEAN Mitsubishi Electric Cup. Ini membawa kepada khabar angin tarikh kejohanan itu akan dipinda.
Dan kini, AFF mengumumkan tarikh baru kejohanan bermula dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025. Sementara saingan kelayakan AFF dikekalkan di mana ia berlangsung pada 8 dan 15 Oktober ini.
Kempen ASEAN Mitsubishi Electric Cup 2024 menyaksikan Malaysia dalam Kumpulan A. Turut sama berada dalam kumpulan itu ialah Thailand, Singapura, Kemboja dan pemenang aksi kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.