Telmo Castanheira Ikut Ong Kim Swee Ke Indonesia
MakanBola
Persik Kediri

Bekas pemain tengah Sabah FC, Telmo Castanheira memilih berkelana ke Indonesia.

Ini selepas Persik Kediri mengumumkan perpindahan pemain tengah Portugal berusia 33 tahun itu di platform rasmi mereka.

Perpindahan ini menyaksikan Castanheira bekerjasama dengan pengendali Persik, Datuk Ong Kim Swee buat kali kedua. Sebelum ini, kedua-duanya pernah bekerjasama semasa bersama Sabah FC.

“Selamat datang ke Kediri, Telmo Castanheira!” kata kelab dalam satu kenyataan ringkas.

Perpindahan ini menyaksikan Castanheira menjadi tonggak import pertama yang dibawa Macan Putih bagi menghadapi kempen musim 2025/26.

Bekas pemain Santa Clara itu merekodkan 57 penampilan, enam gol dan 11 bantuan gol untuk Sabah. Castanheira kemudiannya mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu selepas tamat musim 2024/25.

Pemain tengah Portugal itu dijangka berentap dengan bekas rakan sepasukan, Saddil Ramdani dalam saingan liga Indonesia. Ini selepas Saddil menerima tawaran Persib Bandung.