Saddil Ramdani Sertai Persib Bandung
MakanBola
Persib TV

Bekas pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani sah menyertai Persib Bandung.

Selepas tidak lagi bersama Sabah pada akhir musim 2024/25, pemain sayap Indonesia itu dikaitkan dengan perpindahan ke Persib.

Khabar angin perpindahan itu semakin kuat apabila gambar Saddil bersama pengarah sukan Pangeran Biru, Adhitia Herawan tular di media sosial baru-baru ini.

Kini, perpindahan pemain sayap berusia 26 tahun itu disahkan pengurusan Persib menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.

“Bukan sekadar pulang ke Indonesia, tapi ia datang untuk membawa pengalaman dan harapan baru bersama Persib.

“Selamat datang Saddil Ramdani. Mari kita buat sejarah indah di Bandung,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Saddil dilaporkan memeterai kontrak selama tiga tahun dengan Pangeran Biru. Perpindahan bekas pemain sayap Sri Pahang FC itu turut mendapat sokongan jurulatih Croatia, Bojan Hodak.

Saddil merekodkan 20 penampilan, tujuh gol dan empat bantuan gol dalam semua kejohanan musim 2024/25.