Telmo Castanheira Tinggalkan Sabah
MakanBola
Sabah FC

Telmo Castanheira menjadi tonggak import terbaru mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC.

Perkara ini dinyatakan sendiri pemain tengah berusia 33 tahun itu dalam satu kenyataan di Instagram beliau.

Castanheira mengakui bukan mudah untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada Sang Badak. Pada masa sama, beliau turut menghargai pengalaman beraksi di Sabah selama dua musim.

“Terima kasih Sabah FC. Dua musim yang panjang, budaya baharu, berada di benua berbeza tetapi ia satu pengalaman yang menakjubkan,” katanya.

“Terima kasih kepada semua yang saya kenali sepanjang tempoh ini yang membuatkan saya seperti berada di rumah. Terima kasih kepada penyokong atas sokongan yang tak berbelah bahagi, untuk malam-malam yang tak boleh dilupakan di Stadium Likas.

“Sabah FC akan sentiasa berada di hati saya, terima kasih. Selamanya Sang Badak.”

Selepas menyertai Sabah pada 8 Januari 2023, Castanheira merekodkan 56 penampilan, enam gol dan 11 bantuan gol.

Musim 2024/25 menyaksikan beliau membantu Sabah layak ke Shopee Cup musim hadapan. Ini selepas Sang Badak menamatkan musim di tangga ketiga liga.

Castanheira mengikut jejak Saddil Ramdani dan Park Tae-su yang turut mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah selepas tamat kempen musim ini.