Terengganu Bakal Anjur Sesi Dialog Bersama Peminat
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC bakal mengadakan sesi dialog bersama penyokong tidak lama lagi.

Perkara ini dikongsikan Exco Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dalam satu hantaran di Facebook.

Hishamuddin melihat sesi dialog ini sebagai platform terbaik buat Peteh berkongsi perkembangan terkini menjelang musim 2025/26 yang membuka tirainya pada Ogos ini.

“Saya faham banyak persoalan yang ada di kalangan peminat tentang perkembangan semasa pasukan. InsyaAllah, satu majlis dialog terbuka bersama peminat akan dianjurkan oleh TFC dan PBSNT pada awal Julai nanti,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin turut meluangkan masa bertemu dengan barisan pemain dan staf kejurulatihan Terengganu di pusat latihan pasukan itu pada 17 Jun lalu.

Beliau turut menzahirkan keyakinan kepada jurulatih, Badrul Afzan Razali untuk membawa Terengganu lebih cemerlang selepas ini.

“Semoga Coach Bard (Badrul Afzan) mampu membawa Terengganu FC ke tahap yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” tambahnya.

Barisan pemain yang memiliki kontrak bersama Peteh sudah memulakan latihan pra-musim sejak beberapa hari lalu. Barisan pemain baharu dijangka memulakan latihan mereka pada 1 Julai ini.