Pasukan Pantai Timur, Terengganu FC bakal menerima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
Ini selepas pengurusan Peteh mengumumkan CEO pasukan itu, Mohd Sabri Abas bakal menggalas peranan baharu sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun bermula 4 Mei ini.
“Terengganu FC ingin mengumumkan, Ketua Pegawai Eksekutif kelab ini iaitu Mohd Sabri Bin Abas telah dilantik dan dipertanggungjawabkan menggalas jawatan baru sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun bermula 4 Mei 2025,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala jasa, sumbangan serta komitmen yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama kelab.
“Beliau juga sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap cabaran yang dihadapi, dengan semangat dan dedikasi tinggi demi memastikan kelab ini terus melangkah maju.”
Sabri menggalas peranan sebagai CEO Terengganu pada Oktober 2023 menggantikan penyandang sebelumnya, Ab Rasid Jusoh.
Sebelum itu, beliau menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) pasukan Pantai Timur itu.