Identiti CEO baru Terengganu FC akhirnya diketahui hari ini.
Pengurusan skuad Peteh mengumumkan Mohd Sabri Abas sebagai CEO baru Terengganu menerusi satu hantaran di media sosial rasmi mereka. Sabri sebelum ini menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu.
Pengumuman ini sekaligus menjawab persoalan siapa yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ab Rasid Jusoh yang meninggalkan pasukan pada awal bulan ini.
Keputusan perlantikan ini dibuat petang semalam dalam satu mesyuarat lembaga pengarah buat kali ketiga tahun 2023.
Mesyuarat lembaga pengarah dipengerusikan Exco Pembangunan Belia, NGO dan Sukan Terengganu merangkap Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim.
“Encik Mohd Sabri Abas sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi di TFCSB dan antara individu yang banyak menyumbang dalam perkembangan kelab ini sejak berkhidmat bermula pada tahun 2020.
“Dengan mengambil kira dari pelbagai aspek pengurusan khususnya, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB melihatkan kredibiliti serta pengalaman yang dimiliki oleh beliau menjadikannya sebagai calon terbaik untuk menjadi peneraju TFCSB yang baharu.
“Keluarga besar Terengganu Football Club sekali lagi ingin mengucapkan tahniah serta selamat bertugas buat Encik Mohd Sabri Abas!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik perlantikan ini diumumkan, ramai penyokong Terengganu mengucapkan tahniah kepada Sabri atas perlantikannya sebagai CEO baru.
Mereka berharap kehadiran beliau mampu memperkukuh kedudukan pasukan baik di luar mahupun di atas padang.