Terengganu FC bakal berdepan kesukaran untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi kempen musim 2025/26.
Ini kerana Terengganu dikenakan sekatan perpindahan FIFA. Ini berdasarkan semakan pangkalan data sekatan perpindahan badan induk bola sepak antarabangsa itu.
Selain Terengganu, dua lagi pasukan iaitu PT Athletic FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) turut berdepan sekatan sama.

Sekiranya Peteh gagal menyelesaikan isu sekatan perpindahan tersebut, pasukan itu bakal berdepan kesukaran merekrut pemain untuk musim 2025/26.
Terengganu kini dikaitkan dengan perpindahan beberapa orang pemain selepas tamat musim 2024/25. Antaranya ialah Luqman Hakim Shamsudin, Luciano Guaycochea, Tommy Mawat Bada dan Clayton da Silva.
Isu ini juga dijangka menjadi fokus utama mana-mana figura yang bakal menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Terengganu.
Ini selepas penyandang sebelumnya, Mohd Sabri Abas kini menggalas peranan sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun.