Terengganu FC berharap kehadiran penyerang import baru, Nelson Bonilla bakal menambah dimensi baru di bahagian serangan mereka.
Harapan ini disuarakan pengendali Croatia, Tomislav Steinbruckner selepas penyerang El Salvador itu sah menyertai Peteh pada 21 Ogos lalu.
Steinbruckner merasakan ketiadaan penjaring terbanyak Terengganu pada musim 2023, Ivan Mamut sedikit sebanyak menjejaskan rentak pasukan. Ini kerana penyerang Croatia itu bukan saja menjaringkan 23 gol pada 2023.
Malah, Mamut juga banyak membantu Terengganu dari segi pertahanan dengan menekan pertahanan lawan dan mampu mengawal bola sebagai peledak utama.
Musim 2024/25 menyaksikan penyerang berusia 27 tahun itu tidak dapat diturunkan kerana masih mengalami masalah kecederaan.
Meskipun Terengganu membawa masuk Ismaheel Akinade sebagai pengganti, bekas penyerang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) itu dilihat lebih sesuai di bahagian sayap. Atas sebab itu, Steinbruckner berharap Bonilla dapat menjadi solusi buat Peteh di bahagian serangan.
“Pada mulanya, kita letakkan Ismaheel (Akinade) sebagai penyerang. Kemudian kita ubah posisi beliau kerana beliau lebih sesuai di bahagian sayap.
“Sejak permulaan (musim 2024/25), kita kehilangan khidmat Ivan Mamut yang juga pemain terbaik kita dengan 22 gol. Kita tidak mengambil kira situasi itu. Anda tahu dengan bajet yang ada, kita membawa seorang lagi penyerang (Nelson Bonilla) kerana posisi itu amat penting.
“Tidak hanya kerana menjaringkan gol. Beliau juga perlu menjadi sasaran untuk mengawal bola. Kita sudah lihat penyerang nombor lapan lawan kita (Pablo Augusto) atau Kpah Sherman dalam aksi lepas (menentang Sri Pahang FC),” katanya dalam sidang media yang disiarkan TFC TV.
Khidmat Bonilla dijangka ditagih bukan saja untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) 2024/25. Malah, Peteh bakal menagih bisanya untuk kempen Shopee Cup.