Advertisement
Terengganu Nafi Mahu Singkirkan Steinbruckner
Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Kedudukan Tomislav Steinbruckner sebagai jurulatih Terengganu kembali terumbang-ambing selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir termasuk 2-1 di tangan Sri Pahang. Di sebalik ura-ura Peteh bakal menggantikan jurulatih Croatia itu, ia dinafikan sekeras-kerasnya kelab dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurusan Penyu ingin mengingatkan sebarang usaha melantik jurulatih baru perlu dibuat dengan teliti dan tidak secara terburu-buru. Ini termasuk mendapatkan persetujuan ahli lembaga pengarah kelab bagi membolehkan tindakan tersebut dibuat.

“Terengganu FC ingin mengesahkan berita berkenaan wujud cadangan dari pihak kelab untuk menggantikan Ketua Jurulatih pasukan, Tomislav Steinbruckner dengan pengendali baru adalah tidak benar.

Untuk makluman, proses untuk mencadang, menukar atau melantik jurulatih yang baharu bukan perkara yang mudah dan perlu dikaji dengan terperinci oleh Jawatankuasa Teknikal Terengganu FC serta ianya perlu mendapatkan persetujuan dari pihak Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).

“Ianya bukan hanya boleh dicadang dan dilaksanakan tanpa sebarang persetujuan dari pihak atasan. Jadi berita ini dilihat sedikit sebanyak mengganggu persediaan serta perhubungan dalam kelab ini,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman media sosial rasmi Terengganu.

Spekulasi tentang masa depan Steinbruckner timbul susulan khabar angin membabitkan bekas jurulatih Kedah, Aidi Shahrin Sahak. Aidi dikatakan telah diintai oleh empat pasukan termasuk dua pasukan Liga Super, Kelantan United dan Terengganu.

Pengurusan Peteh turut memaklumkan mereka masih percaya dengan keupayaan Steinbruckner sebagai pengendali pasukan. Ini termasuk membantunya mengenalpasti pemain mana yang patut dibawa masuk semasa tetingkap perpindahan kedua pada Jun ini.

“Terengganu FC tidak akan melakukan tindakan terburu-buru yang melibatkan pengendali pasukan dan pada ketika ini jawatankuasa teknikal kelab serta barisan kejurulatihan sedang dalam usaha bagi memperkemaskan pasukan untuk perlawanan Liga Super yang bakal bersambung pada 19 Mei ini serta membuat penyenaraian akhir pemain yang ingin dibawa masuk setelah jendela perpindahan dibuka Julai ini,” tambahnya.