Kelab Liga Super, Terengganu FC dilaporkan ada melakukan percubaan untuk menghubungi pemain muda negara yang berkelana di luar negara.
Pemain berusia 23 tahun itu beraksi di Eropah selama hampir 5 tahun selain dipinjamkan beberapa kali ke kelab lain.
Kontrak anak jati Kota Bharu, Kelantan ini bagaimanapun bakal berakhir Julai ini sekali gus dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Super Malaysia.
Laporan daripada wartawan negara, T. Avineshwaran memaklumkan bahawa terdapat usaha daripada dua kelab iaitu Selangor dan Negeri Sembilan untuk mendapatkan khidmat Luqman.
“Selangor dan Negeri Sembilan dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Luqman Hakim Shamsuddin.
“Jika beliau menyertai Red Giants, ada kemungkinan beliau akan dipinjamkan ke Negeri Sembilan,” ujarnya di laman X.
Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk FC, Amin Fuad melaporkan bahawa terdapat cubaan oleh Terengganu untuk berhubung dengan pemain tersebut.
“Rasanya Terengganu pun ada menghubungi,” ujarnya di laman X.
Terdapat juga beberapa orang penyerang lain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Terengganu seperti Haqimi Azim dan juga Syafiq Ahmad.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung tawaran yang diterima oleh Luqman mahupun minat yang ditunjukkan oleh Terengganu ke atas pemain ini.