Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali tidak akan mengambil risiko menurunkan penyerang Croatia, Ivan Mamut untuk aksi separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia.
Mamut kembali bersama Peteh pada Januari selepas menjalani pemulihan selama hampir setahun akibat kecederaan tendon Achilles.
Meskipun gembira melihat penyerang berusia 27 tahun itu semakin pulih, Badrul enggan mengambil risiko menurunkan beliau untuk aksi separuh akhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini kerana bekas penyerang Inter Zapresic itu masih lagi menjalani proses pemulihan. Mamut dijangka hanya kembali beraksi bersama Terengganu pada Februari ini.
“Untuk perlawanan malam esok, saya boleh katakan Ivan Mamut tidak boleh bermain. Beliau masih dalam keadaan pemulihan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Saya dapat info daripada doktor yang mengatakan (bulan) Februari mungkin beliau boleh beraksi.”
Pada masa sama, Badrul gembira melihat penjaring terbanyak Peteh musim 2023 itu kembali bersama pasukan. Ini kerana ini akan memberi pilihan kepadanya di bahagian serangan.
“Sudah tentu, kita memerlukan Ivan Mamut. Semua orang perlukan Ivan Mamut. Kita pun nak Ivan Mamut kembali bermain secepat mungkin,” tambahnya.
Ketiadaan Mamut menyaksikan dua penyerang import, Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla bakal dipertimbang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Terengganu.
Peteh turut mendapat suntikan moral tambahan apabila Akhyar Rashid menyertai pasukan itu secara tetap dari JDT. Ini membolehkannya beraksi untuk aksi separuh akhir menentang pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Terengganu bakal berentap dengan JDT dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 17 Januari. Ini disusuli aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 1 Februari.