Pemain Terengganu, Akhyar Rashid menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas pasukan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pemilik kelab, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Pada Rabu, Terengganu secara rasmi mengumumkan Akhyar sebagai pemain tetap untuk pasukan Pantai Timur itu setelah dipinjamkan oleh JDT di awal musim 2024-2025 yang lalu.
“Akhyar Rashid secara rasminya telah menandatangani kontrak bersama Terengganu yang akan mengekalkan pemain ini sehingga 2 musim bersama kelab ini.”
Oleh itu, Terengganu menzahirkan ucapan terima kasih buat JDT dan pemilik kelab, DYAM Tunku Ismail di atas keputusan memperkenan permohonan mendapatkan Akhyar ini secara tetap.
“Pihak kelab mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan ini (kepada DYAM Tunku Ismail dan JDT),” ucap Terengganu FC dalam satu kenyataan.
“Diharapkan kehadiran Akhyar ini mampu meningkatkan lagi kualiti pasukan ini untuk baki musim ini dan musim-musim akan datang.”
Dalam kenyataan yang sama, Akhyar mengambil peluang bagi menzahirkan ucapan terima kasih buat pasukan JDT serta DYAM Tunku Ismail di atas segala tunjuk ajar selama ini.
”Akhyar Rashid juga mengucapkan ucapan terima kasih buat kelab JDT dan DYAM Tunku Ismail atas segala perkara yang telah dicurahkan buat beliau sebelum ini dalam menjadikan beliau sebagai seorang pemain profesional.”
Dengan ini, Akhyar dijangka tiada masalah untuk diturunkan oleh jurulatih Terengganu, Badrul Afzan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu JDT di Gong Badak.