Pemain tengah Jepun dan Liverpool, Wataru Endo mengambil keputusan untuk bersara selepas terlepas menyertai Piala Dunia 2026.
Keputusan itu diambil pemain tengah berusia 33 tahun itu susulan kecederaan yang dialami beliau ketika bersama kem Jepun.
Endo mengalami kecederaan tersebut dalam aksi persahabatan menentang Iceland baru-baru ini. Selepas beraksi selama 45 minit, beliau kemudiannya dikeluarkan pada babak kedua kerana mengadu tidak selesa pada bahagian kaki.
Pengurusan skuad kebangsaan Jepun berharap Endo sempat pulih sebelum saingan Piala Dunia bermula. Walau bagaimanapun, pemeriksaan pasukan perubatan mendapati kecederaan beliau memerlukan masa lebih lama untuk pulih.
Susulan itu, Jepun membawa masuk pemain Borussia Monchengladbach, Shuto Machino sebagai pengganti Endo. Beliau kemudiannya mengumumkan persaraannya dari arena antarabangsa di laman sesawang rasmi Liverpool.
“Sejak saya mengalami kecederaan, saya melakukan apa yang terdaya sehingga ke saat ini. Jadi, saya tidak ada rasa menyesal. Mulai saat ini, saya akan bersorak untuk pasukan kebangsaan Jepun sebagai salah seorang daripada penyokong,” katanya.
Endo telah merekodkan 73 penampilan antarabangsa untuk Jepun dalam tempoh sedekad. Ini termasuk Piala Dunia 2022 di mana beliau merekodkan empat penampilan.