Kapten pasukan Myanmar, Maung Maung Lwin bengang dan menganggap pengadil bodoh setelah pasukannya tumpas di tangan Singapura pada Khamis.
Pada aksi tersebut, Singapura terlebih dahulu memimpin aksi hasil penyudah Farhan Zulkifli seawal minit kelima sebelum Myanmar bangkit mencipta dua gol di awal babak kedua.
Ketinggalan 1-2, Singapura bangkit dan berjaya meledak dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi Shawal Anuar serta Naqiuddin Eunos memberikan kemenangan buat The Lions.
Menurut Maung Maung Lwin, mereka sangat tidak bernasib baik kerana sudah memberikan persembahan terbaik namun pengadil yang disifatkan bodoh telah menjadi ‘wira’ dalam aksi ini.
“Kami sangat tidak bernasib baik, kalian boleh lihat pengadil sangat bodoh, saya mohon maaf kerana mengatakan seperti ini,” ujar Maung Maung Lwin selepas tamat aksi.
”Kerana kami telah mencuba yang terbaik namun pemain terbaik perlawanan adalah pengadil dan saya tidak mahu komen lebih lanjut,” tambah pemain Lamphun Warrior itu.
Selepas ini, Singapura akan menentang Chinese Taipei pada 18 November. Manakala Myanmar pula bersiap sedia melayan kunjungan Lubnan di Fukuoka, Jepun pada 19 November.