Aksi Thai League 1 menyaksikan Police Tero mengalami kekalahan ketiga dalam 4 perlawanan apabila tewas kepada Khon Kaen United dengan keputusan 4-0.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Provincial Khon Kaen menyaksikan ketua jurulatih Police Tero, Tan Cheng Hoe mempertaruhkan formasi 4-4-2 berbalas 4-2-3-1 oleh lawan.
Pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk mengatur gerak dalam 15 minit pertama perlawanan menerusi gandingan baik Yashir Pinto dan juga Juvhel Tsoumou.
Usaha itu bagaimanapun sedikit terencat apabila tuan rumah memperoleh jaringan pertama perlawanan hasil gerakan cantik yang akhirnya disudahkan oleh Pattharaphon Junsuwan pada minit ke-23 hasil hantaran cantik Brenner.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, Police Tero dilihat cuba untuk menekan lawan dengan lebih ketat untuk mencari gol penyamaan.
Tandukan pemain sayap, Suksan Bunta hampir membuahkan hasil namun tidak tepat ke sasaran.
Kealpaan benteng pertahanan Police Tero sekali lagi dihukum oleh tuan rumah apabila rembatan Junsuwan berjaya menerjah jaring untuk gol kedua pasukan.
Tambahan masa 6 minit menyaksikan dua lagi jaringan oleh Chatchai Chiakklang dan juga Phalakon Wokiang menyaksikan keputusan berakhir 4-0.
Rekod 4 perlawanan terakhir menyaksikan Police Tero dan Tan Cheng Hoe hanya berjaya mengumpul satu mata hasil satu keputusan seri dan tiga kekalahan.