Skuad futsal Malaysia terpaksa menelan kepahitan apabila tewas kepada negara serantau, Thailand dalam aksi kedua NSDF Futsal Championship 2024.
Selepas berjaya meraih keputusan 3-3 dengan Afghanistan, pasukan yang dibimbing Rakhpol Sainetngam berharap dapat mencipta kejutan ke atas tuan rumah.
Manakala Thailand yang dibimbing jurulatih Sepanyol, Miguel Rodrigo pula mahu bangkit selepas tewas tipis 4-3 kepada Australia.
Babak pertama menyaksikan Thailand bermula dengan garang bagi mendapatkan kelebihan awal. Hasilnya, mereka mendahului seawal minit kelima menerusi Apiwat Chaemcharoen.
Tersentak, Malaysia cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Dan skuad negara hampir melakukannya menerusi Danial Dain pada minit kesembilan tetapi percubaan beliau tersasar.
Skuad negara terus memberi tekanan kepada gawang Thailand tetapi setiap percubaan mereka dinafikan penjaga gol, Arut Senbat. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Thailand terus memberi tekanan bagi mendapatkan gol tambahan.
Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-22 menerusi penyerang veteran, Suphawut Thueanklang tetapi percubaannya berjaya ditepis keluar.
Thailand akhirnya mendapat gol kedua menerusi rembatan kencang Alongkorn Janphon pada minit ke-29 yang menewaskan penjaga gol negara, Aiman Fikry Ramli.
Awalluddin Mat Nawi merapatkan jurang buat skuad negara dengan meledakkan gol pada minit ke-33.
Skuad negara berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Malaysia bakal menutup kempen kumpulan dengan menentang Australia pada 27 Mac ini.