Thailand bangkit daripada memori kekalahan besar 8-0 di tangan Georgia dengan mengikat Estonia 1-1 di A. Le Coq Arena awal pagi tadi.
Gajah Perang dilihat mahu melupakan kekalahan kedua terburuk dalam sejarah bola sepak Thailand itu yang dialami beberapa hari lepas.
Sementara The Blueshirts pula mahu memburu kemenangan dalam kalendar antarabangsa FIFA buat kali pertama sejak Januari lalu.
Babak pertama menyaksikan Thailand mendominasi babak pertama berdasarkan statistik Sofascore. Daripada tujuh percubaan mereka, tiga daripadanya tepat ke sasaran tetapi berjaya ditepis penjaga gol Estonia, Karl Andre Vallner.
Kecekapan penjaga gol FCI Levadia itu memastikan tuan rumah kekal 0-0 dengan Gajah Perang sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Thomas Haberli itu mula mengasak pelawat.
Begitupun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-71 untuk gol pertama menerusi penyerang kelab Lee Man, Henri Anier.
Keceriaan tuan rumah tidak bertahan lama apabila bek tengah BG Pathum United, Jakkapan Praisuwan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-76.
Menariknya, itu juga merupakan gol pertama Jakkapan bersama Thailand selepas membuat 11 penampilan.
Kedua-dua pasukan terus mengasak bagi mencari gol kemenangan tetapi tidak berhasil. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini memastikan Thailand kekal tanpa kalah dengan Estonia selepas tiga pertemuan.
Selain itu, ini memberi suntikan motivasi kepada Gajah Perang menjelang aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 menentang China pada 16 November ini.
Sofascore tidak teragak-agak menamakan Jakkapan dan Anier sebagai pemain terbaik untuk kedua-dua pasukan. Menariknya, kedua-duanya mendapat markah penilaian sama iaitu 7.6.