Advertisements
Thailand ‘Dikelar’ Georgia 8-0
Eropah
MakanBola
Changsuek

Kempen perlawanan persahabatan Thailand di bumi Eropah bermula dengan langkah kiri selepas tunduk kepada Georgia awal pagi tadi.

Perlawanan hari ini merupakan sebahagian daripada persiapan Thailand menghadapi Piala Asia 2023.

Di atas kertas, kelebihan memihak kepada The Crusaders yang menduduki ranking ke-79 FIFA berbanding Thailand (ranking ke-112).

Dengan ramai pemainnya beraksi di liga-liga utama Eropah, kewibawaan Georgia terserlah pada babak pertama dengan enam gol dijaringkan.

Pemain muda Bordeaux, Zuriko Davitashvili menyumbat gol pertama pada minit kesembilan. Tiga minit kemudian, bek tengah Luka Lochoshvili menggandakan kelebihan tuan rumah.

Penyerang Ajax Amsterdam, Georges Mikautadze memastikan gawang Gajah Perang yang dikawal Kampol Pathomattakul bocor lagi sebanyak tiga kali.

Mikautadze melupakan seketika kempen mengecewakan Ajax dengan meledakkan gol pada minit ke-24, 37 dan 41.

Derita pasukan pelawat makin bertambah apabila Davitashvili menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-43.

Bersambung pada babak kedua, Thailand yang tempang tanpa ramai tonggak utama untuk kalendar FIFA kali ini berusaha memastikan gawang mereka tidak bocor.

Bagaimanapun, apa yang diharap jurulatih Gajah Perang, Mano Polking langsung tidak berlaku.

Sebaliknya, mereka dibolosi lagi sebanyak dua kali menerusi Mikautadze pada minit ke-56 dan bintang Napoli, Khvicha Kvaratskhelia pada minit ke-66.

Keputusan 8-0 ini kekal sehingga tamat perlawanan. Dan berdasarkan penilaian Sofascore, Mikautadze selayaknya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 10.

Walaupun dibolosi lapan kali, Thailand patut berterima kasih kepada Kampol kerana cekap mengawal gawang hari ini. Ini disokong dengan penilaian Sofascore sebanyak 9.3 buat beliau.

Penilaian itu diberi selepas Kampol menafikan 14 daripada 22 percubaan tepat The Crusaders ke arah gol Thailand.

Ini satu pencapaian membanggakan buat pemain yang merekodkan penampilan kelapan bersama Gajah Perang.

Selepas ini, Thailand akan menentang Estonia pula bagi melengkapkan jelajah persahabatan mereka di Eropah. Perlawanan itu akan berlangsung pada 17 Oktober ini.

Related Articles