Thailand FA Terima Anugerah FIFA
MakanBola
FA Thailand

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai penerima FIFA Forward Awards 2025 (Tahap Emas).

Perkara ini diumumkan badan induk bola sepak Thailand itu di platfrom rasmi mereka. Thailand dipilih kerana berjaya memenuhi beberapa kriteria FIFA.

Antara kriteria tersebut ialah FAT memanfaatkan sepenuhnya geran FIFA Forward untuk membantu pembangunan bola sepak Thailand. Ini termasuk pembangunan di peringkat akar umbi.

Selain itu, FAT dilihat cemerlang menambah penggunaan teknologi sistem bantuan video pengadil (VAR). Ini kerana sistem ini kini digunakan untuk Thai League 1 dan Thai League 2.

Liga Thailand turut menjadi liga pertama di rantau Asia Tenggara yang menggunakan teknologi Crosshair 3D.

FAT juga turut dipuji kerana mengadakan latihan pengadilan secara berterusan. Ini bagi memastikan barisan pengadil yang dipilih berkualiti bagi menghadapi arena bola sepak Thailand.

Ini bukan kali pertama FAT menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Sebelum ini, badan induk itu turut menerima anugerah tahap berlian daripada AFC pada Oktober 2024.

Bahrain, Uzbekistan dan Bhutan menerima anugerah tahap Perak. Tajikistan, Malaysia dan Singapura pula menerima anugerah tahap Gangsa.