Pemain pertahanan Thailand, Chalermsak Aukkee berazam mahu menukar kegembiraan Filipina kepada air mata menjelang aksi separuh akhir kedua ASEAN Championship 2024.
Thailand kecewa apabila tewas 2-1 kepada Filipina pada 27 Disember lalu. Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan Sandro Reyes dan Suphanan Bureerat, Kike Linares muncul wira buat Filipina.
Ini kemenangan pertama pasukan itu ke atas skuad Gajah Perang sejak tahun 1972. Meskipun tewas, Thailand masih memiliki bekalan satu gol untuk aksi separuh akhir kedua.
Atas sebab itu, Chalermsak mahu merobek kegembiraan pelawat agar dapat membawa Thailand ke final ASEAN Championship 2024.
“Saya sedar kita tewas kepada Thailand. Itu membuatkan peminat bola sepak merasa marah dan sedih. Tetapi saya nak semua orang tahu pemain-pemain juga sedih seperti penyokong,” katanya seperti dilaporkan SiamSport.
“Kita ingat perlawanan yang kita kalah. Filipina merasa gembira sehingga menitiskan air mata dan dalam perlawanan ini, mereka akan menangis lagi kerana kita menghalang mereka mara ke final.”
Selepas beraksi di padang tiruan Stadium Memorial Rizal, Gajah Perang mahu memanfaatkan peluang beraksi di Stadium Rajamangala untuk menewaskan anak buah Albert Capellas.
Thailand dan Filipina bakal berentap buat kali kedua pada 30 Disember ini. Pemenang bakal bertemu sama ada Singapura atau Vietnam di pentas final.