Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia membuka kempen Thailand Open 2024 dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil China, Lei Lanxi.
Kejohanan ini merupakan antara medan persiapan pemain perseorangan ke-10 dunia itu sebelum ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Dari segi rekod pertemuan dan ranking dunia, kelebihan memihak kepada Zii Jia. Ini kerana Lanxi berstatus pemain perseorangan ke-33 dunia.
Selain itu, wakil China itu pernah tewas kepada Zii Jia dalam Badminton Asia Mixed Team Championship 2023. Lanxi yang menjadi wakil perseorangan China tewas kepada anak jati Alor Setar itu dengan keputusan 21-16, 22-20.
Di awal permainan, Zii Jia diberikan tentangan sengit oleh pemain China tersebut sehingga menyebabkan wakil negara itu ketinggalan 9-11 ketika interval.
Zii Jia seakan kembali mendapat rentak apabila beberapa pukulannya gagal dikembalikan oleh Lanxi sekaligus mengejar semula kedudukan sebelum pemain perseorangan negara itu mendahului 17-12.
Permainan di set pertama berakhir dengan kemenangan 21-17 buat Zii Jia meskipun Lanxi berusaha mendapatkan mata di penghujung aksi.
Skrip sama seakan berulang di set kedua apabila Lei Lanxi bermula garang dengan beberapa serangan yang tidak berjaya dibaca oleh Zii Jia.
Walau bagaimanapun, Zii Jia kekal fokus dan mengejar satu persatu mata sebelum sekali lagi mendahului ketika interval dengan keputusan 11-8.
Wakil perseorangan negara itu terus memecut meninggalkan kawannya itu jauh sebelum Lan Xi bangkit mengikat kedudukan 20-20 di penghujung permainan.
Pengalaman dan ketenangan yang dimiliki Zii Jia nampaknya menjadi kelebihan untuk menutup cerita di set kedua dengan kemenangan.
Aksi tamat, Lee Zii Jia menang dengan keputusan 21-17, 23-21.
Kemenangan ini menghantar wakil negara ini ke pusingan kedua dan akan menempah pertemuan menentang pemenang di antara Magnus Johannesen dari Denmark atau pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin