Thailand mempertaruhkan gabungan pemain berpengalaman dan muda untuk menghadapi cabaran ASEAN Hyundai Cup 2026.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil Anthony Hudson untuk menghadapi kejohanan berprestij itu di platform Changsuek.
Seperti dijangka, nama-nama besar seperti Suphanat Mueanta, Chanathip Songkrasin, Supachai Chaided, Supachok Sarachat, Nicholas Mickleson, Teerasil Dangda dan Theerathon Bunmathan tiada dalam skuad kali ini.
Meskipun begitu, kelibat pemain-pemain berpengalaman seperti Sarach Yooyen, Pansa Hemviboon, Narubadin Weerawatnodom dan Kampol Pathomakkakul terus ditagih Hudson.
Bekas jurulatih BG Pathum United itu turut membuat kejutan dengan membawa masuk Chawanwit Saelao. Chawanwit beraksi untuk kelab Thai League 3, Prime Bangkok.
Bekas pemain tengah Selangor FC, Picha Autra juga tersenarai dalam skuad Gajah Perang. Sebelum ini, ramai penyokong Thailand menyangka Picha tidak berpeluang beraksi di ASEAN Hyundai Cup selepas mengalami kecederaan serius pada Mac lalu.
Kini, bekas kapten Muangthong United itu dilihat sudah cergas sepenuhnya untuk menambah pilihan Hudson di bahagian tengah.
Thailand akan membuka kempen Kumpulan A ASEAN Hyundai Cup dengan menentang Laos pada 25 Julai ini.