Keceriaan pemain pinjaman Selangor FC, Picha Autra bersama Bangkok United tidak bertahan lama.
Ini kerana bekas kapten Muangthong United itu mengalami kecederaan serius dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Tampines Rovers.
Sebelum mengalami kecederaan tersebut pada separuh masa kedua, Picha antara dua penjaring Bangkok United pada babak pertama.
Nebojsa Kosovic meletakkan pasukan Thai League 1 itu di hadapan pada minit ke-11. Tujuh minit kemudian, giliran Picha mencetak nama sebagai penjaring.
Pemain tengah Thailand berusia 30 tahun itu kemudiannya terpaksa diusung keluar akibat kecederaan pada minit ke-54. Wartawan sukan Thailand, Ta Lao percaya Picha mengalami kecederaan serius.
“Picha dalam kesakitan dan terpaksa diusung keluar. Ini kelihatan seperti kecederaan serius,” katanya di X.
Sekiranya perkara itu benar, Picha bukan saja berdepan kemungkinan berehat panjang. Malah, beliau juga berpotensi terlepas saingan ASEAN Hyundai Cup bersama skuad kebangsaan Thailand.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Bangkok United menewaskan Tampines Rovers 2-1 untuk meraih kemenangan aksi suku akhir pertama.
Sejak menyertai Bangkok United secara pinjaman dari Selangor, Picha merekodkan tujuh penampilan, satu gol dan empat bantuan gol.