Thailand Pesta Gol, Pintas Malaysia Sekelip Mata
MakanBola
Changsuek/MalaysiaNT

Thailand merampas kedudukan Malaysia selepas memperoleh kemenangan besar dalam aksi pertama kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.

Saingan kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 menyaksikan Malaysia dan Thailand masing-masing memulakan kempen dengan penuh bergaya selepas berjaya memperoleh 3 mata dalam perlawanan pertama di tempat lawan.

Pasukan negara yang dibimbing oleh pengendali interim, Tan Cheng Hoe berjaya mempamerkan kebangkitan hebat ketika menumpaskan Myanmar 2-1 di Stadium Thuwunna pada petang Sabtu sekali gus membawa balik 3 mata ke tanah air.

Dua jaringan Paulo Josue dalam tempoh 5 minit pada separuh masa kedua sudah cukup untuk menidakkan hasrat Myanmar bagi meraih kemenangan meskipun berjaya mendahului seawal minit ke-10 menerusi penyudah Myat Kaung Khant.

Kemenangan 2-1 meletakkan Malaysia di tangga teratas kumpulan B buat seketika sebelum Thailand kembali memintas apabila skuad Gajah Perang membelasah Laos 5-0 dalam satu lagi perlawanan pada sebelah malam di Vientiane.

Kakana Khamyok menjaringkan dua gol buat Thailand manakala Yotsakorn Burapha, Sarach Yooyen dan Teerasak Poeiphimai masing-masing meledak satu jaringan bagi memastikan 3 mata penuh menjadi milik anak-anak buah Anthony Hudson.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, Thailand kembali merampas kedudukan teratas di kumpulan B dengan 3 mata, hasil kelebihan jaringan berbanding Malaysia yang kini menghuni tangga kedua dan diikuti Filipina yang belum turun beraksi.

Myanmar dan Laos pula akur berada di dua tangga tercorot kumpulan B selepas kekalahan pada perlawanan pembukaan ini dengan harapan bagi melangkah ke pusingan separuh akhit ASEAN Hyundai Cup masih lagi terbuka.

Aksi kedua kumpulan B bakal berlangsung pada Selasa ini dengan Malaysia akan turun melayani kunjungan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur manakala Filipina dijadualkan membuka kempen dengan bertemu Myanmar di laman sendiri.