ASEAN Hyundai Cup: Malaysia Bangkit Tewaskan Myanmar
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia membuka kempen Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup dengan langkah kanan apabila menewaskan Myanmar di Stadium Thuwunna.

Malaysia berharap dapat membuka kempen kejohanan dengan kemenangan. Meskipun beraksi di tempat lawan, anak buah Tan Cheng Hoe tetap yakin dapat meraih keputusan positif.

Bekas pemain tengah Terengganu FC, Kyaw Min Oo mengetuai jentera tengah Myanmar. Tonggak Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue mengetuai cabaran kem negara.

Hasrat Malaysia memburu gol awal pada separuh masa pertama musnah pada minit ke-10. Pemain Yangon City, Myat Kaung Khant meletakkan tuan rumah di hadapan dengan menewaskan penjaga gol, Azri Ghani.

Tersentak, Malaysia cuba mengatur rentak untuk memburu gol penyamaan. Malangnya, penjaga gol Myanmar, Zin Nyi Nyi Aung sentiasa bersedia menafikan serangan pasukan negara.

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) II, G. Pavithran hampir menyamakan kedudukan buat Malaysia pada minit ke-40. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Nyi Nyi Aung.

Kekentalan yang ditampilkan penjaga gol Yangon United itu memastikan Myanmar mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Harimau Malaya tampil lebih kemas untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Josue meledakkan gol ke-11 bersama skuad negara pada minit ke-52.

Malaysia kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil Jepun, Yusuke Ohashi. Ohashi mengesan terjahan keras pemain Myanmar ke atas Mohamadou Sumareh dalam kotak penalti.

Josue tenang menewaskan Nyi Nyi Aung pada minit ke-57 untuk meletakkan Malaysia di hadapan. Cheng Hoe kemudiannya memasukkan Haqimi Azim Rosli dan Aliff Haiqal Lau untuk mengekalkan momentum serangan skuad negara.

Myanmar hampir menyamakan kedudukan menerusi Than Paing pada minit ke-64. Tandukan beliau berjaya ditepis Azri dan terkena palang sebelum akhirnya dikawal bekas penjaga gol KL City itu.

Pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal menamatkan penantian tujuh tahun untuk menyarung jersi negara buat kali pertama. Beliau masuk sebagai pemain gantian bersama Daryl Sham.

Myanmar berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Meskipun tewas, Kaung Khant dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.8.

Selepas ini, skuad negara akan menentang Laos pada 28 Julai. Myanmar pula akan menentang Filipina pada hari yang sama.