Penantian tujuh tahun Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal untuk membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya bakal jadi kenyataan.
Ini kerana beliau menjadi sebahagian daripada 25 pemain yang berangkat ke Yangon, Myanmar untuk aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 menentang negara itu.
Apabila ditanya tentang prospek beliau membuat penampilan pertama dalam perlawanan tersebut, Kuzain mengakui teruja dan tidak sabar beraksi buat negara.
“Sudah pastinya semua orang tahu betapa sukarnya perjalanan saya untuk ke sini (mewakili Harimau Malaya),” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
“Saya amat gembira untuk akhirnya dapat berada di sini dan bercakap dengan anda semua.
“Harap-harap saya dapat melakukan penampilan pertama beberapa hari lagi dan seperti yang saya katakan sebelum ini, saya amat-amat teruja dan tidak sabar untuk melakukannya.”
Kuzain mengakui tempoh tujuh tahun merupakan satu tempoh yang lama buat dirinya. Ini kerana disebabkan isu dokumentasi, beliau bukan saja terlepas mewakili Malaysia tetapi tidak dapat beraksi di pentas antarabangsa.
Atas sebab itu, Kuzain mahu memanfaatkan peluang yang diberi jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe untuk membantu Harimau Malaya tampil cemerlang di atas padang.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B menentang Myanmar pada 25 Julai ini.