Meskipun gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, skuad kebangsaan Thailand menerima bonus kewangan berjumlah 10 juta baht (RM1.2 juta).
SNE Sports melaporkan bonus ini diterima selepas mereka meraih dua kemenangan dan dua keputusan seri dalam enam perlawanan Kumpulan C.
Ini termasuklah kemenangan 3-1 yang dilakar ke atas Singapura di Stadium Rajamangala semalam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau Madame Pang berjanji bagi setiap satu mata yang diraih skuad Gajah Perang, mereka akan menerima bonus sejuta baht (RM128,000).
Janji yang dibuat Madame Pang semasa menjadi pengurus pasukan Thailand terus dikekalkan apabila beliau dipilih sebagai Presiden FAT pada awal tahun ini.
Bonus akan dibahagikan secara saksama kepada semua pemain yang mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan Thailand, tidak kira sama ada mereka bermain atau tidak.
Pemain yang beraksi dalam kesemua enam perlawanan Kumpulan C berpeluang menerima 400,000 baht (RM51,000). Antara pemain yang berpotensi menerima bonus sedemikian ialah kapten, Theerathon Bunmathan dan Supachok Sarachat.
Bayaran bonus dijangka diterima pemain kira-kira seminggu atau dua minggu selepas perlawanan terakhir Thailand.
Bonus ini tidak termasuk bayaran bonus yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, dan Timbalan Perdana Menteri, Suriya Juangroongruangkit.
Kedua-duanya berjanji akan memberi bonus kepada pemain Gajah Perang dalam aksi menentang Korea Selatan. Walau bagaimanapun, bonus yang dijanjikan masih belum disalurkan setakat ini.