Jurulatih Thailand, Masatada Ishii tidak akan memandang rendah cabaran Filipina menjelang aksi separuh akhir pertama ASEAN Championship 2024.
Thailand selaku juara bertahan layak ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A. Ini selepas pasukan itu merekodkan kemenangan 100% dalam saingan peringkat kumpulan.
Filipina pula layak selaku naib juara Kumpulan B. Pasukan itu memiliki rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan termasuk mengalahkan Indonesia 1-0.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah saingan King’s Cup pada Oktober lalu. Aksi tersebut menyaksikan Thailand meraih kemenangan 3-1 ke atas anak buah Albert Cappelas.
Meskipun Gajah Perang dilabel pasukan pilihan, Ishii enggan memandang rendah cabaran Filipina. Ini kerana pasukan kali ini jauh lebih baik daripada pasukan yang dihadapi mereka pada Oktober lalu.
“Saya tidak boleh analisis aksi sebelumnya di mana Filipina menentang Indonesia. Tetapi daripada apa yang saya nampak dari segi permainan Filipina, mereka berbeza daripada sebelumnya,” kata Ishii dalam sidang media pra-perlawanan semalam.
“Terdapat penambahbaikan dari segi cara menyerang dan bertahan berbanding pasukan yang kita temui dalam King’s Cup.”
Thailand berharap dapat meneruskan rekod kemenangan ke atas Filipina sejak tahun 1972. Tahun itu juga menyaksikan Gajah Perang tewas 1-0 kepada Filipina dalam saingan Jakarta Anniversary Tournament (JAT).
Thailand dan Filipina bakal berentap untuk aksi separuh akhir pertama di Stadium Memorial Rizal pada 27 Disember.