Thailand terus mengatur persiapan menjelang kempen ASEAN Championship 2024 apabila bakal berhadapan pasukan Asia Barat, Lubnan.
Aksi persahabatan yang bakal diadakan pada 14 November pada awalnya hampir dibatalkan. Ini susulan tindakan rejim Israel menceroboh Lubnan pada akhir September lalu.
Situasi tersebut turut menyebabkan pasukan yang diberi jolokan The Cedars itu membatalkan aksi persahabatan antarabangsa dengan Vietnam pada Oktober lalu.
Namun begitu, Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) bahawa mereka komited untuk memenuhi komitmen perlawanan berkenaan.
Ini membolehkan kedua-dua pasukan dapat berentap pada tarikh yang dinyatakan. Selain sebagai medan persiapan ASEAN Championship 2024, skuad Gajah Perang berharap dapat menambah baik kedudukan mereka dalam Balang 1 undian pusingan kelayakan Piala Asia 2027.
Ini kerana Thailand dan Lubnan berada dalam balang yang sama. Selain dua pasukan itu, Syria, India, Tajikistan dan Vietnam turut berada dalam Balang 1.
Selain Lubnan, Thailand juga akan berdepan pasukan Asia Tenggara, Laos pada 17 November ini. Aksi ini akan berlangsung tiga hari selepas Million Elephants berdepan Harimau Malaya di Bangkok pada 14 November.