Penyerang muda Chonburi FC, Yotsakorn Burapha menjadi pilihan Thailand sebagai pengganti ayam tambatan mereka, Suphanat Mueanta.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengumumkan senarai 23 pemain yang akan dibawa Anthony Hudson untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Turkmenistan.
Sebelum ini, Suphanat mengalami kecederaan dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Buriram United dan Melbourne City baru-baru ini.
Ketiadaan beliau mendorong Hudson memanggil Yotsakorn sebagai pengganti. Penyerang berusia 20 tahun itu dilihat semakin menyengat selepas kembali dari pinjaman bersama kelab Hougang United.
Yotsakorn sudah meledakkan enam gol dalam 10 penampilan bersama Chonburi setakat ini. Beliau turut mencipta tiga bantuan gol dalam Thai League 1.
Selain beliau, Hudson turut memanggil ramai tonggak berpengalaman seperti Chanathip Songkrasin, Theerathon Bunmathan, Kritsada Kaman dan Sarach Yooyen.
Perlawanan menentang Turkmenistan pada 31 Mac ini dilihat penentu sama ada Thailand layak ke Piala Asia 2027 atau sebaliknya.