Buriram United Layak Namun Berduka
MakanBola
Buriram United

Buriram United terpaksa membayar harga yang mahal untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Ini kerana pasukan gergasi Thailand itu kehilangan khidmat ayam tambatan mereka, Suphanat Mueanta pada separuh masa pertama aksi kedua pusingan 16 menentang Melbourne City.

Suphanat terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Susulan itu, pengendali Buriram, Mark Jackson memasukkan Kenny Dougall sebagai pengganti.

Perkara ini turut dikongsikan wartawan Thailand, Ta Lao. “Suphanat mengalami kecederaan beberapa minggu sebelum aksi wajib menang untuk Thailand,” katanya di X.

Thunder Castle kemudiannya memenangi aksi tersebut menerusi penentuan penalti dengan keputusan 4-2. Bekas penjaga gol Cardiff City, Neil Etheridge muncul wira dengan menafikan dua penalti City.

Meskipun begitu, status kecederaan Suphanat membuatkan ramai penyokong Thailand tidak senang duduk.

Ini kerana seandainya pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan serius, ini akan menjejaskan perancangan jurulatih Thailand, Anthony Hudson.

Ini kerana Suphanat antara tonggak pasukan Gajah Perang untuk memburu tiket kelayakan Piala Asia 2027. Thailand akan menentang Turkmenistan pada 31 Mac ini untuk merebut tiket berkenaan.

Selain itu, kemungkinan ini juga menyaksikan Suphanat berpotensi menamatkan musim lebih awal. Jika itu berlaku, Jackson perlu membuat perancangan alternatif bagi mengharungi baki perlawanan musim ini.

Selain ACLE, Buriram United juga turut memburu trofi Thai League Cup, Thai FA Cup, Thai League 1 dan membawa misi mempertahankan gelaran juara Shopee Cup.