ACLE: Penalti Bawa Buriram United Ke Suku Akhir, Singkirkan Melbourne City
MakanBola
AFC

Buriram United menempah tempat ke suku akhir ACLE musim ini apabila berjaya menumpaskan Melbourne City melalui penentuan sepakan penalti dalam aksi kedua pusingan 16 yang berlangsung di Chang Arena sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Buriram United menurunkan Neil Etheridge sebagai benteng terakhir pasukan, dengan Curtis Good mengetuai barisan pertahanan. Di bahagian serangan pula, gandingan Robert Zulj dan Guilherme Bissoli dipertaruhkan bagi mengemudi jentera serangan pasukan tuan rumah.

Sementara itu, Melbourne City membariskan Patrick Beach di posisi penjaga gol, manakala Medin Memeti menjadi sandaran utama pasukan dalam usaha memburu jaringan.

Buriram memulakan aksi dengan tempo yang tinggi dengan melancarkan lambakan peluang berbahaya pada awal babak pertama bagi mencari gol pembukaan.

Melbourne City tampak berjaya menahan segala tekanan meskipun kelab dari Thailand tersebut mendapat tonik tambahan dari ribuan penyokong sendiri di Chang Arena.

Buriram United terpaksa akur bermain dengan 10 orang dalam tempoh 70 minit lebih apabila Robert Zulj dilayangkan kad merah hasil kekasaran keras ke atas pemain Melbourne City pada minit ke-21.

Separuh masa pertama tamat, Buriram 0-0 Melbourne City. Tiada jaringan dapat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan meskipun deretan peluang yang terhidang dimiliki oleh Thunder Castle dan juga City Blues ketika itu.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan masih gagal menghasilkan jaringan walaupun beberapa peluang keemasan berjaya dicipta oleh Buriram United dan Melbourne City.

Jurulatih kedua-dua pasukan turut melakukan beberapa pertukaran penting dalam usaha memecah kebuntuan pada separuh masa kedua, namun segala percaturan tersebut masih belum berjaya membuahkan hasil, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Bersambung di masa tambahan, Buriram United yang beraksi dengan 10 pemain tetap menyerang seperti biasa dan hampir meledak gol menerusi pemain gantian, Kasper Junker namun percubaan beliau gagal menepati sasaran.

Selepas itu, pemain Melbourne City, Elbasan Rashani turut mempunyai peluang keemasan pada minit ke-105 apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan Neil Etheridge namun percubaannya berjaya ditangkap oleh penjaga gol tersebut.

Kedudukan walau bagaimanapun kekal seri secara agregat 1-1 sehingga tamat masa tambahan dan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Neil Etheridge menjadi wira Buriram United apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus melayakkan kelab dari Thailand tersebut ke pentas suku akhir ACLE musim 2025/26.

Format suku akhir ACLE dimainkan dengan melibatkan lapan pasukan terbaik, iaitu empat dari Zon Timur dan empat dari Zon Barat. Semua pasukan ini akan melalui undian terbuka, bermakna kelab dari Timur boleh bertemu kelab dari Barat tanpa sebarang had zon.

Perlawanan suku akhir dimainkan dalam satu perlawanan sahaja, bukan lagi secara timbal balik seperti sebelum ini. Pemenang perlawanan akan terus mara ke separuh akhir.

Selain itu, semua perlawanan bermula dari suku akhir hingga final diadakan di venue neutral, iaitu di Jeddah, Arab Saudi, dalam format kejohanan mini.