Kapten Thailand, Theerathon Bunmathan mengakui perlawanan menentang Singapura semalam berpotensi sebagai kempen kelayakan Piala Dunia terakhirnya.
Thailand terlepas peluang layak ke pusingan ketiga kelayakan meskipun meraih kemenangan 3-1 ke atas The Lions dalam aksi terakhir Kumpulan C.
Ini kerana China memiliki rekod pertemuan lebih baik daripada skuad Gajah Perang di peringkat kumpulan. Ini selepas kedua-dua pasukan terikat dari segi mata dan jaringan selepas tamat perlawanan keenam Kumpulan C.
Dengan usianya kini mencecah 34 tahun, Theerathon melihat tempohnya bersama skuad kebangsaan Thailand semakin menghampiri ke penghujung.
Atas sebab itu, pemain pertahanan Buriram United itu berharap generasi pemain Thailand seterusnya dapat membawa pasukan itu ke hadapan terutama untuk kempen kelayakan Piala Dunia.
“Saya kecewa dengan diri saya. Saya kecewa dengan keputusan (perlawanan). Saya memohon maaf kepada semua penyokong Thailand.
“Ini mungkin kelayakan Piala Dunia terakhir saya. Saya harap generasi baru pemain dapat membawa Thailand layak ke pusingan seterusnya,” katanya selepas perlawanan seperti yang dilaporkan wartawan sukan Thailand, Ta Lao.
Sejak diberi peluang membuat penampilan pertama oleh Bryan Robson pada 2010, Theerathon telah merekodkan 105 penampilan dan tujuh gol untuk Thailand di peringkat antarabangsa.
Thailand menutup kempen Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan lapan mata daripada enam perlawanan.