Kapten Buriram United, Theerathon Bunmathan memohon maaf atas tindakannya ke atas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi baru-baru ini.
Nama pemain berpengalaman berusia 34 tahun itu menjadi bualan peminat bola sepak Asia gara-gara tindakan tidak sopannya kepada pemain sayap JDT itu.
Insiden ini berlaku dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) membabitkan JDT dan Buriram pada 3 Disember lalu. Sebaik insiden berkenaan dikesan oleh VAR, pengadil Arab Saudi, Khalid Salleh Alturais tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Theerathon.
Theerathon bukan satu-satunya pemain yang dibuang padang dalam aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu. Dua pemain Harimau Selatan, Murilo Henrique dan Park Jun-heong turut menerima nasib sama.
Susulan itu, Theerathon memohon maaf atas perlakuannya itu. Ini kerana disebabkan tindakannya itu, ia memberi kesan buruk kepada Buriram,
“Saya ingin tampil dan memohon maaf atas kesalahan saya. Saya sangat menyesal dan kecewa dengan tindakan saya sehingga saya tidak dapat mengawal emosi saya. Ia tidak sepatutnya berlaku.
“Saya memohon maaf kepada presiden kelab Buriram United. Saya minta maaf kepada jurulatih, rakan sepasukan, juga kepada peminat Buriram dan peminat yang menyayangi saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas pemain pertahanan Yokohama F. Marinos itu turut berharap tindakannya itu dijadikan pengajaran buat generasi muda. Ini kerana insiden ini dapat menjadikan mereka sebagai pemain yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya mahu meminta maaf. Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan lebih daripada perkataan maaf. Saya amat bersalah dengan tindakan ini.
“Ia satu perbuatan yang tidak layak dijadikan contoh kepada golongan muda. Saya doakan adik-adik saya yang menjadi contoh, ambil kesilapan saya sebagai pengajaran dan gunakan apa yang bermanfaat daripada saya,” ujarnya.
Ketiadaan Theerathon bakal menjejaskan perancangan jurulatih Buriram, Osmar Loss Vieira untuk dua aksi terakhir Liga Timur ACLE pada Februari 2025.
Buriram akan menentang juara K-League 1 2024, Ulsan HD pada 12 Februari 2025. Ini disusuli aksi menentang Gwangju FC pada 18 Februari 2025.